|

Universiti Aga Khan
Universiti Aga Khan (AKU) yang telah dipiagamkan sebagai sebuah universiti antarabangsa swasta pada 1983 adalah sebuah institusi yang ditadbir sendiri dan menjalankan operasi di lapan buah negara. Universiti ini adalah sebahagian daripada Rangkaian Pembangunan Aga Khan (AKDN) yang terdiri daripada kumpulan agensi pembangunan antarabangsa swasta yang bertujuan untuk memperbaiki keadaan hidup dan peluang di negara membangun melalui pembangunan sosial, ekonomi dan budaya. Seperti institusi rangkaian yang lain, kemasukan dalam program akademik di universiti ini tidak mengambil kira mazhab dan berdasarkan kepada merit sepenuhnya.
Melalui program pengajaran dan penyelidikan di Afghanistan, Kenya, Pakistan, Tanzania, Uganda, Syria, Mesir dan United Kingdom, AKU berfungsi sebagai sebuah agen perubahan dalam membangunkan kepakaran dan menyediakan peluang kemajuan kerjaya melalui program yang ditawarkannya di Kolej Perubatan, Kolej Kejururawatan, hospital universiti, Institut Pembangunan Pendidikan dan Institut Pengajian Tamadun Muslimnya. AKU juga merancang untuk menubuhkan Institut Pembangunan Insan dan Fakulti Sastera dan Sains dengan kurikulum yang berlandaskan model sastera liberal pendidikan siswazah dan pasca siswazah
Sila klik di sini untuk maklumat lanjut mengenai Universiti Aga Khan.

Perlunya penubuhan Institut Pengajian Tamadun Muslim (AKU-ISMC)
Pada tahun 1994, sekumpulan ahli akademik antarabangsa unggul yang dikenali sebagai Suruhanjaya Canselor telah membuat kajian semula beberapa kajian utama pendidikan tinggi yang berpusat kepada negara yang mempunyai penduduk Muslim. Kajian tersebut merangkumi kajian-kajian yang telah dibuat pada dekad sebelumnya oleh Jawatankuasa Harvard, Institut Pendidikan Antarabangsa dan Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Analisa seterusnya telah mendorong suruhanjaya tersebut
untuk menegaskan bahawa institusi yang mampu mengamalkan norma dan kaedah kesarjanaan moden perlu diperkukuh tanpa mengabaikan pengalaman silam dan keadaan masa kini orang Muslim yang berhadapan dengan cabaran semasa. Suruhanjaya tersebut berpendapat bahawa institusi sebegini harus berusaha untuk mewujudkan kesarjanaan tanpa dua kelemahan. Pertama, penyaluran ilmu pengetahuan mengenai Islam yang mengetepikan perubahan besar yang dibawa oleh arus pemodenan, dan kedua, kaedah reduksionis terhadap tradisi keagamaan yang terdapat di beberapa institusi Barat.
Suruhanjaya tersebut merumuskan bahawa Universiti Aga Khan (AKU), sebuah institusi pengajian tinggi yang mempunyai kampus utamanya di kawasan yang majoriti penduduknya beragama Islam, terpilih untuk mengutarakan cabaran yang dihadapi oleh orang Muslim pada masa kini. Suruhanjaya itu berpendapat bahawa AKU mampu mencapai objektif tersebut melalui penubuhan sebuah institut yang tertumpu kepada pengajian Muslim dan bermatlamat menghasilkan kajian dan penulisan yang dapat menerangkan warisan Muslim serta
kaitannya pada masa kini. AKU juga diharapkan dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat Muslim.
AKU-ISMC percaya bahawa AKU-ISMC mampu menyumbang terhadap pemahaman mengenai masyarakat Muslim dan kemunculan sikap baru di kalangan orang Muslim dan orang bukan Muslim terhadap kebimbangan masyarakat kontemporari. AKU-ISMC bermatlamat untuk mengkaji dan meningkatkan kesedaran mengenai isu paling serius yang dihadapi oleh masyarakat Muslim pada hari ini. Seterusnya, dengan berbuat demikian, AKU-ISMC dapat mengenalpasti permasalahan dan cabaran yang sebenar. Pasukan Petugas yang menubuhkan AKU-ISMC menyedari bahawa “...takhlisan dunia Muslim tidak akan ditemui tanpa pemikiran yang jelas, waras, berpengetahuan dan berdisiplin, yang boleh didapati daripada pendidikan yang terbaik di universiti”.

Pendekatan pengajian Tamadun Muslim
Berfokuskan masyarakat Muslim, program institut mengambil kira kepelbagaian kebudayaan yang membuktikan bahawa orang Muslim pernah dan masih menjadi kelompok penting. Pendekatan pengajian Tamadun Muslim merangkumi kebudayaan dunia yang berupaya menghasilkan perspektif yang analitis dan perbandingan yang lebih luas.
Pendekatan ini akan memerlukan kajian dalam konteks sejarah kebudayaan dan intelektual. Dalam hal ini, idea dan amalan agama adalah bermakna. Pendekatan ini memerlukan kajian selari dibuat terhadap manifestasi kebudayaan seperti seni, puisi dan seni bina dengan doktrin, undang-undang dan amalan agama. Institut akan berusaha untuk memahami ciri-ciri tamadun Muslim melalui
perubahan zaman, dan juga menumpukan perhatian terhadap proses sosial, kebudayaan dan sejarah yang kompleks yang dihadapi pada zaman semasa. AKU-ISMC akan berusaha untuk menghadapi cabaran asas masa kini, seperti isu kemiskinan dan tadbir urus.
Persepaduan yang sebati antara pengajian sejarah dan isu semasa merupakan daya usaha yang mempunyai kepentingan falsafah dan pendidikan, yang mungkin dapat individu dan masyarakat memahami erti dan tujuan dalam amalan yang terdapat di sekeliling mereka dan di tempat lain.

Butir-butir Akreditasi
Institut Pengajian Tamadun Muslim Universiti Aga Khan diakreditasikan oleh British Accreditation Council for Independent and Further Education.

Universiti Aga Khan (Antarabangsa) di United Kingdom ditubuhkan di England sebagai syarikat berhad dengan nombor pendaftaran 4448389.
|